SEORANG pekerja kedai tayar sedang memperbaiki tayar kereta kepunyaan pelanggan. FOTO Rafiqah Dahali
SEORANG pekerja kedai tayar sedang memperbaiki tayar kereta kepunyaan pelanggan. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


KELONGGARAN untuk kedai tayar dan bengkel kenderaan beroperasi dalam waktu dan peraturan ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah memberi kelegaan kepada orang ramai.

Seorang penduduk, Abdul Rashid Suku, 61, berkata sudah seminggu dia tidak dapat menggunakan kereta disebabkan tayar pecah.

“Sukar untuk saya bergerak tanpa kereta sekiranya keluar membeli barang.

“Mujur kedai tayar dibenarkan beroperasi dan memberi peluang untuk saya menggantikan tayar,” kata penjual ikan itu.

Manakala seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Nikosogian, 53, turut mengambil peluang membaiki motosikal yang rosak sejak dua minggu lalu.

“Sukar bagi saya untuk bergerak terutamanya keluar mencari barangan ketika motosikal rosak.

“Kelonggaran yang kerajaan berikan kepada bengkel kenderaan untuk beroperasi ternyata memberi faedah ketika PKP ini,” katanya.

Terdahulu Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong mengumumkan pihaknya membenarkan kedai tayar dan bengkel beroperasi pada waktu ditetapkan.

Kebenaran diberikan kepada kedai tayar dan bengkel yang berdaftar di bawah Jabatan Kerja Raya untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP ini.

Bilangan kedai tayar dan bengkel yang diberikan kebenaran ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi pada 8 pagi hingga 2 petang pada Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 11:34 AM