POO KIM ketika mengambil barangan sumbangan PERKASIH N9. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
POO KIM ketika mengambil barangan sumbangan PERKASIH N9. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


“SAYA nama Cina tapi sudah peluk Islam, bolehkah saya mohon bantuan?,” tanya saudara baru, Choo Poo Kim, 54, ketika menghubungi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih (PERKASIH N9) melalui telefon di Port Dickson, hari ini.

Selepas dimaklumkan bantuan itu untuk semua kaum dan agama, saudara baru itu mengatakan dirinya dalam keadaan susah dan terkesan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak boleh bekerja.

Katanya, isterinya, Nurul Maisarah Abdullah, 36, adalah saudara baru dari bangsa Iban dan sekarang menghidap sakit angin ahmar dan tidak bekerja.

“Saya terpaksa bercuti tanpa gaji sebagai pengawal keselamatan di sebuah projek pembinaan perumahan di Lukut.

“Saya memeluk agama Islam lima tahun lalu selepas tertarik melihat adik saya yang terlebih dahulu memeluk Islam, saya tengok dia tak berubah malah lebih berkeyakinan dan tetap menghormati kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas mengambil barangan makanan sumbangan PERKASIH N9 di Bandar Springhill, Port Dickson, hari ini.

Menurutnya, semua wang simpanan sudah habis digunakan kerana sudah dua minggu tidak bekerja berikutan PKP.

Katanya, dia bimbang apabila barangan makanan sudah kehabisan dan bantuan diterima hari ini tepat pada masanya.

“Dalam keadaan sekarang saya pasti semua orang susah dan amat berharap gejala penyakit berjangkit ini segera pulih.

“Inilah masanya semua orang bersatu hati dan mengikut arahan PKP seperti yang disarankan kerajaan.

“Saya bimbang anak saya tak ada makanan kerana mereka tidak faham punca kesusahan ini,” kata bapa kepada anak lima itu.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya hanya mengagihkan bantuan dalam bentuk barangan makanan hasil sumbangan orang ramai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 6:25 PM