Antara warga asing yang terjejas ketika menerima sumbangan daripada NGO PERKASIH N9 di tiga daerah, Seremban, Nilai dan Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Antara warga asing yang terjejas ketika menerima sumbangan daripada NGO PERKASIH N9 di tiga daerah, Seremban, Nilai dan Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lebih 200 warga Indonesia yang terjejas susulan pandemik Covid-19 diberikan bantuan makanan oleh Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9), baru-baru ini.

Bantuan itu diberikan kepada warga asing terbabit di sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson.

Menurut penerima bantuan terbabit, Ali Saiaan, 38, dia berterima kasih atas sumbangan diberikan Perkasih N9 kerana membantu mengurangkan tekanan kehidupan dilaluinya susulan tidak bekerja sejak lebih tiga bulan lalu.

"Kami tinggal di rumah kongsi dan tidak dibenarkan bekerja sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu menyebabkan kami tiada pendapatan.

"Lebih malang kami tidak dibenarkan keluar sedangkan perut perlu diisi, hanya berjimat dan biasanya kami masak bubur nasi bagi mengalas perut selain bimbang bekalan kami kehabisan sedangkan tidak tahu bila boleh bekerja," katanya yang bekerja di sektor pembinaan di Port Dickson.

Bagi Saripah Margoso, 42, dia buntu kerana tidak mendapat gaji sejak empat bulan lalu.

Menurutnya, dia hanya memperoleh saguhati sebanyak RM300 yang diberikan dua bulan lalu oleh majikannya.

"Kami tidak menyalahkan majikan sepenuhnya kerana masalah ini (pandemik) adalah masalah global namun kami berterima kasih kepada penduduk tempatan yang menyumbang bagi meringankan beban kami warga asing di sini.

"Ada segelintir kami terpaksa mencari ikan di sungai dan mengutip tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan bagi mengalas perut buat sementara waktu," katanya ketika ditemui di projek perumahan di Nilai.

Pekerja binaan, Rudi Mustamin, 37, berkata, dia bersyukur kerana penduduk tempatan banyak membantu dirinya dan rakan warga asing lain.

"Saya dan rakan berterima kasih kepada mereka yang banyak membantu kerana kami hanya perlukan bantuan beras sahaja berikutan lauk kami boleh cari sendiri seperti ikan di sungai dan juga tanaman sayur yang kami usahakan.

"Bagi saya, sumbangan ini adalah rezeki yang kami tidak jangka, hanya Allah yang dapat membalasnya dan ini menunjukkan penduduk Malaysia adalah warga penyayang, kami hargai mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9 Norfadilah Mansor berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 untuk membantu warga asing yang terjejas di seluruh Negeri Sembilan.

"Program ini akan berterusan kerana kita tidak tahu sampai bila PKP akan dilaksanakan dan yang pastinya banyak pihak yang terjejas, bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga warga asing yang ada di negara kita ini.

"Mereka juga adalah penyumbang kemajuan negara dan dalam keadaan ini, semua orang susah tetapi mereka tidak ada tempat nak meminta bantuan, apa salahnya kami membantu mereka mengikut sumbangan yang kami terima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 1:41 PM