LOKASI mangsa mati selepas ditendang berkali-kali. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI mangsa mati selepas ditendang berkali-kali. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman

SEORANG pekerja ladang kelapa sawit meninggal dunia selepas ditendang berkali-kali oleh tiga lelaki di sebuah rumah kongsi di kawasan Ladang Muncul Maju, Sugut.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada salah faham di antara mangsa dan tiga lelaki berkaitan urusan jual beli kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa, Mohd Fazle Mide, 25, berasal dari Tawau.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 10 malam, Sabtu lalu.

“Pada kejadian itu, saksi melihat suspek datang ke rumah mangsa dengan membawa senjata buatan sendiri jenis bakakuk.

“Mangsa ketika itu sedang tidur di dalam rumah sebelum ditendang berkali-kali sehingga tidak berdaya untuk melawan.

“Saksi merayu kepada suspek agar melepaskan mangsa sebelum ketiga-tiga suspek meninggalkan mangsa dalam keadaan tidak bermaya,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Kasim, mangsa kemudiannya dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

“Susulan itu, tiga suspek berusia 17 hingga 50 tahun ditahan keesokan harinya.

“Polis turut merampas bakakuk dibawa suspek pada kejadian terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 8:27 PM