RONALD  Kiandee  ketika sidang media selepas mesyuarat bersama pihak industri di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
RONALD Kiandee ketika sidang media selepas mesyuarat bersama pihak industri di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Pertanian Dan Industri Asas Tani akan mencadangkan kepada jawatankuasa khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar pasar pagi dan tani dibuka semula bagi menangani lambakan hasil pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, perkara itu akan dibawa ke majlis mesyuarat jawatankuasa PKP esok.

Menurut beliau, penutupan pasar pagi dan tani menyebabkan sayuran dan ikan tidak dapat dipasarkan kerana hanya pasar raya yang dibenarkan beroperasi.

“Kita harap cadangan ini diterima supaya tidak berlaku lambakan hasil pertanian dan mengakibatkan kerugian kepada pengusaha,” katanya pada sidang media selepas mengadakan seisi dialog bersama pihak industri.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Ronald berkata, cadangan yang akan dibawa ke mesyuarat esok adalah bagi membenarkan 37 pasar tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) beroperasi semula.

Menurut beliau, ketika ini, tiga ‘MyFarm Outlet’ FAMA masih beroperasi iaitu di Putrajaya, Chendering (Terengganu) dan Bagan Datoh (Perak) namun tidak kesemua peniaga dibenar beroperasi.

Katanya, sekiranya cadangan itu diterima, kementerian akan bekerjasama dengan FAMA bagi meletakkan kakitangan di pasar tani bagi memastikan orang ramai mematuhi jarak sosial dan peraturan lain.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan masalah pengusaha sayuran di Cameron Highlands yang hasil tani mereka tidak dapat dibawa turun selain nelayan di Hutan Melintang, Perak sudah diselesaikan.

Beliau turut memberi jaminan bekalan barangan makanan mencukupi dan berada di tahap stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:59 PM