PENGGUNAAN paracetamol untuk kegunaan diri sendiri amat digalakkan pada situasi hari ini.
PENGGUNAAN paracetamol untuk kegunaan diri sendiri amat digalakkan pada situasi hari ini.
Muhamaad Razis Ismail


PERDEBATAN mengenai penggunaan ubat anti-radang ibuprofen sedang hangat diperkatakan apabila didakwa boleh memberi kesan buruk kepada individu yang memilik gejala Covid-19.

Kerajaan Perancis menerusi Menteri Kesihatannya Oliver Veran mengeluarkan amaran bahawa ubat anti-radang yang digunakan secara meluas akan memburukkan lagi jangkitan virus itu.

Veran yang pernah menjadi doktor saraf mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter rasminya berkata, pengambilan ubat anti-radang seperti ibuprofen dan cortisone, boleh menjadi faktor memudaratkan jangkitan Covid-19.

"Sekiranya demam, ambil paracetamol.

"Pesakit yang sedang dirawat dengan ubat anti-radang perlu mendapatkan nasihat daripada doktor mereka," katanya.

The Guardian turut melaporkan, pegawai kesihatan Perancis percaya bahawa ubat-ubatan (ibuprofen) ini boleh mengurangkan tindak-balas imun pesakit ketika melawan demam.

Mereka mengesyorkan pesakit merawat diri sendiri di rumah menggunakan paracetamol kerana ia akan mengurangkan demam tanpa tindak balas terhadap radang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada mulanya memberi amaran terhadap penggunaan ibuprofen kepada pesakit Covid-19.

Menurut New Straits Times, jurucakap WHO, Christian Lindmeier sebelum ini memberitahu wartawan di Geneva bahawa mereka sedang meneliti perkara itu untuk memberi panduan yang lebih terperinci.

OLIVER Veran menggalakan pengambilan paracetamol sekiranya demam.
OLIVER Veran menggalakan pengambilan paracetamol sekiranya demam.

"Sementara itu, kami mengesyorkan menggunakan paracetamol dan jangan gunakan ibuprofen sebagai ubat untuk diri sendiri. Itu penting," katanya.

Bagaimanapun pada 19 Mac yang lalu, WHO menarik balik kenyataan awal mereka berkenaan tidak mencadangkan penggunaan ibuprofen kepada pesakit Covid-19.

WHO menyatakan bahawa mereka sudah berunding dengan doktor yang merawat pesakit Covid-19 dan tidak menyedari laporan mengenai sebarang kesan negatif ibuprofen. Mereka juga mengakui bahawa tiada data klinikal yang diterbitkan bagi menjelaskan isu ini.

Oleh kerana tiada bukti bahawa ibuprofen boleh memburukkan kesan jangkitan Covid-19, penggunaan paracetamol lebih disarankan bagi kegunaan untuk diri sendiri di rumah.

"Lebih sesuai untuk menggunakan paracetamol sebagai pilihan pertama, terutama untuk pesakit yang terdedah kepada Covid-19" kata Dr Charlotte Warren-Gash dari London School of Hygiene and Tropical Medicine kepada BBC baru-baru ini.

Sementara itu, Profesor Madya Louis Irving dari Hospital Royal Melbourne berkata, bahawa ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen boleh memberi tindak balas terhadap jangkitan radang dengan cara yang lebih teruk.

"Oleh itu, jika anda memerlukan ubat untuk demam, penggunaan paracetamol lebih disarankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:54 PM