PENGAWAL memerhati hospital sementara yang diwujudkan di premis sukan di Beijing untuk menyaring mereka yang demam. FOTO Reuters.
PENGAWAL memerhati hospital sementara yang diwujudkan di premis sukan di Beijing untuk menyaring mereka yang demam. FOTO Reuters.
Agensi

Beijing: Lonjakan kes Covid-19 yang melanda China ketika ini menyebabkan sektor kesihatannya bergelut dengan pasukan perubatan turut dalam tekanan.

Hospital sementara dibina untuk menyaring individu yang demam berikutan hospital sedia ada penuh dengan pesakit Covid-19 yang perlu rawatan.

Kerajaan China juga mengambil alih pengeluaran bekalan perubatan di seluruh negara selepas jutaan rakyatnya sukar mendapatkan ubat asas dan kit ujian saringan.

Menurut AFP, farmasi di bandar utama berdepan kekurangan ubat-ubatan berikutan keputusan mendadak kerajaan China menarik balik perintah berkurung, kuarantin dan ujian besar-besaran.

Pihak berkuasa juga menggesa mereka yang mengalami gejala ringan untuk tinggal di rumah dan melaksanakan ujian kendiri termasuklah penggunaan ibuprofen dan ujian antigen pantas.

Bagi menangani kekurangan itu di seluruh negara, puluhan firma farmaseutikal China diarahkan oleh pegawai kerajaan untuk membantu menyelamatkan bekalan ubat-ubatan utama.

Dalam pada itu, video doktor yang sedang memeriksa pesakit tiba-tiba rebah di atas kerusi, tular di media sosial yang menunjukkan pegawai perubatan itu keletihan akibat bertugas tanpa henti.

Doktor lain terpaksa merawatnya dan memindahkan dia daripada kerusi apabila keadaannya tidak baik.

Sebuah lagi video yang didakwa dirakam di hospital di bandar Chongqing menunjukkan ada pesakit yang diberi rawatan Resusitasi kardiopulmonari (CPR) di atas lantai akibat kegagalan jantung.

Semua katil di wad itu kelihatan penuh dengan pesakit yang mengalami kesukaran sama, diintubasi dan memakai ventilator.

Pada Selasa, Beijing merekodkan satu kematian berkait Covid-19 dan dua lagi pada Isnin, namun secara keseluruhan, China hanya melaporkan 5,242 kematian sejak pandemik meletus di pusat bandar Wuhan, penghujung 2019 lalu.

Meskipun China menyembunyikan jumlah sebenar kematian akibat wabak itu, terdapat laporan mendedahkan giliran krematorium yang panjang buat masa ini.

Pekerja di dua rumah pengebumian di Beijing memberitahu Reuters, berlaku lonjakan permintaan daripada penduduk untuk membakar mayat ahli keluarga, hujung minggu lalu dan perlu menunggu giliran.

Malah, mereka akan dikenakan bayaran tinggi jika ingin menyempurnakan upacara pengebumian dalam kadar segera.

Selasa lalu, China menukar definisi pengiraan kematian dengan hanya mengambil kira kematian akibat radang paru-paru dan kegagalan respiratori selepas dijangkiti wabak itu sahaja sebagai kematian Covid-19.

Ini bermakna, kematian pesakit dengan penyakit sedia ada tidak dikira sebagai kematian Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 4:27 PM