KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali. FOTO ASROL AWANG
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali. FOTO ASROL AWANG
Mohd Rafi Mamat

GAGAL meletakan tanda harga pada bungkusan gula mengundang padah kepada seorang peniaga kedai runcit di Raub, Pahang apabila dikenakan kompaun RM200, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata tindakan berkenaan dikesan berlaku sepanjang tempoh pemeriksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sejak PKP diwartakan, sebanyak 513 premis di negeri ini diperiksa oleh pegawai KPDNHEP namun hanya satu kes sahaja dikesan.

“Setiap hari pihak kami melakukan pemeriksaan yang menumpukan kepada harga serta bekalan barangan keperluan di premis pemborong dan pasaraya termasuk stesen minyak.

“Kita juga turut membuat pemeriksaan membabitkan harga serta bekalan penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman yang kini mendapat permintaan yang begitu tinggi.

“Kementerian memandang serius sekiranya terdapat peniaga yang menaikan harga barangan terutama ketika sepanjang PKP, ” katanya dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau menambah, untuk memudahkan lagi pengguna membuat aduan berkaitan bekalan barangan dan harga KPDNHEP Pahang membuka bilik Gerakan Pusat Arahan Penguatkuasaan atau Enforcement Command Centre (ECC) yang dikendalikan beberapa pegawai.

Ahmad Fitri berkata, sejak dibuka Ahad lalu sebanyak lapan aduan diterima dan semuanya berkaitan penutup hidung dan mulut.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, hukuman setimpal menunggu mereka,” katanya

Waktu operasi ECC seluruh negeri ini bermula 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Pengguna yang mahu membuat aduan boleh terus menghubungi ECC di talian 09 5717757 (Kuantan), 09 2901601 (Temerloh), 09 2601374 (Jerantut), 09 3554000 (Raub) dan 09 4140512 (Rompin).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 7:48 PM