KEADAAN rumah warga emas. FOTO Ihsan MPKL
KEADAAN rumah warga emas. FOTO Ihsan MPKL
Ruwaida Md Zain


SEORANG warga emas bakal berdepan tindakan mahkamah jika masih berdegil menjadikan rumah teresnya sebagai kedai besi buruk di Jenjarom, Banting.

Dia yang menjalankan perniagaan itu sejak penghujung tahun lalu pernah disaman sebelum ini oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Malah semalam, MPKL sekali lagi mengeluarkan satu notis ke atasnya bagi kesalahan sama.

Yang Dipertua MPKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya mendapat aduan daripada orang ramai yang tinggal berhampiran rumah lelaki warga emas itu berhubung perkara itu.

"Pemilik sebuah rumah teres di Jenjarom didapati menjalankan aktiviti perniagaan barangan lusuh di dalam kawasan rumahnya.

"Pegawai Penguatkuasa MPKL ke lokasi dan mendapati banyak barangan lusuh seperti tayar, tong, peti ais, besi buruk di situ.

"MPKL sudah mengeluarkan satu Notis Kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan & Perindustrian MDKL 2007 dan Notis Pemberitahuan bagi mengarahkan pemilik rumah itu membersihkan kawasan rumahnya," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, pemilik rumah itu bakal berdepan tindakan mahkamah jika masih berdegil dan meneruskan aktiviti perniagaannya.

Beliau turut memberi amaran kepada penduduk di kawasan perumahan supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

"MPKL ingin memberi amaran kepada penduduk bahawa menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan perumahan adalah melanggar peraturan sedia ada dan MPKL tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

"Sebagai makluman umum juga kawasan ini adalah kawasan wabak denggi.

"MPKL menyarankan semua penduduk perlu bersama-sama menjaga kebersihan supaya wabak denggi tidak menular ke kawasan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 3:26 PM