ALEXANDER NANTA LINGGI
ALEXANDER NANTA LINGGI
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengarahkan peniaga pasar malam dan gerai makan tepi jalan ditutup operasi jualan mereka susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan semalam.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya turut menggalakkan pengusaha restoran membuka jualan dengan menjual secara bungkus.

Menurutnya, arahan tutup operasi sementara waktu bermula esok hingga 31 Mac depan bagi mengawal pergerakan orang ramai bagi membendung penularan Covid-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan itu mengecualikan perniagaan operasi di pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian cawangan Tealive Ke-506 di KPDNHEP di Putrajaya hari ini.

Hadir sama timbalannya Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

Perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Alexander berkata, keputusan dan arahan itu diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan peniaga serta orang ramai bagi mencegah kemungkinan Covid-19 merebak dengan lebih meluas.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang orang ramai perlu lebih banyak berada di rumah kecuali keluar bagi mendapatkan barangan keperluan.

“Jangan ambil kesempatan untuk bersiar-siar bagi mengelak penularan wabak Covid-19 ini merebak dengan lebih mudah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 5:46 PM