Mohamad Salihi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan barangan di rumah ibunya. FOTO Syafiq Ambak
Mohamad Salihi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan barangan di rumah ibunya. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan barangan di rumah ibunya membabitkan kerugian RM300 gara-gara bengang wanita terbabit tidak memberikan wang.

Tertuduh, Mohamad Salihi Mat Zin, 27, dari Batu Rakit, Kuala Nerus mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin, dinding dan lantai rumah papan serta pinggan hingga menyebabkan pemiliknya, Fauziah Mohamed, 54, mengalami kerugian RM300 di sebuah rumah di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus, jam 2 pagi pada 1 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tertuduh dikatakan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan kegagalan wanita terbabit menyerahkan wang menyebabkan tertuduh naik angin.

Dalam kejadian itu, tertuduh bertindak merosakkan cermin, dinding dan lantai papan serta pinggan milik ibunya menyebabkan mangsa menanggung kerugian RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 4:19 PM