BOMBA mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan dua kereta yang menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut di Jalan Batu 8 Lekir, Sitiawan, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan dua kereta yang menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut di Jalan Batu 8 Lekir, Sitiawan, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


MURID lelaki Tahun Enam maut ketika dalam perjalanan ke sekolah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Batu 9 Lekir, di Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa, Mohd Hafizudin Norsalnizam, 12, yang menaiki Proton Wira dipandu bapanya meninggal di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Manakala, bapanya, 44, dan adik perempuannya, 9, dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kemalangan itu membabitkan Proton Wira dinaiki tiga mangsa dengan Proton Waja dipandu lelaki berusia 65 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton Wira berkenaan dari arah Kayan menghala ke Sitiawan dan mereka dalam perjalanan ke sekolah manakala Proton Waja pula dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di tempat kejadian Proton Wira itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Waja itu.

“Kemalangan itu menyebabkan penumpang hadapan Proton Wira iaitu kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta iaitu bapa dan adik perempuan mangsa cedera,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 1:47 PM