AZMAN (dua dari kanan) dan Nursita (kiri) ketika perasmian pameran ‘A Tribute to Jeri Azhari’ di Galeri Prima, Balai Berita, Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Aziah Azmee.
AZMAN (dua dari kanan) dan Nursita (kiri) ketika perasmian pameran ‘A Tribute to Jeri Azhari’ di Galeri Prima, Balai Berita, Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Aziah Azmee.
Faliq Lajim


SEBANYAK 66 karya artis pop negara, Allahyarham Jeri Azhari dipamerkan di Galeri Prima, Balai Berita, Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga 26 Julai depan.

Pameran itu bertujuan memberi penghormatan kepada Jeri Azhari atau nama sebenarnya, Ahmad Azhari Mohd Nor yang memperjuangkan seni pop di negara ini.

Pameran dikuratorkan Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) dan Galeri Prima itu dirasmikan Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Berhad, Tan Sri Azman Hashim, malam ini.

Turut hadir, Pengarah HBAA, Sim Polenn dan isteri kepada Jeri Azhari, Norsita Abd Rahman.

Antara karya dipamerkan di dalam galeri itu potret Azman dihasilkan Jeri Azhari pada 1980.

Ia dimiliki Azman dan dihasilkan menggunakan akrilik di atas kanvas.

Sim berkata, pameran itu adalah peringatan kepada Jeri Azhari iaitu lagenda pop negara yang meninggal dunia pada Julai 2006.

“Pameran ini antara impian isterinya yang mahu karya arwah suaminya itu dipamerkan di tempat kerja lamanya ketika berkhidmat sebagai artis grafik di The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Bangsar selama 10 tahun.

“Kita bersyukur dapat memenuhi impian Nursita yang memiliki 65 karya dalam pameran ini dan dibuka untuk jualan,” katanya.

Hasil karya lain dihasilkan Allahyarham dan dipamerkan termasuk Seduction, 1990 yang bernilai RM150,000; Time: Artist Sharing Ibrahim Hussein’s Ear of Van Gogh, 1997 (RM80,000); Matahari, 1997 (RM45,000) dan Philosophy, 2002 (RM45,000).

Sementara itu, Norsita, berkata, dia memang sudah menunggu untuk karya arwah suaminya itu dipamerkan selepas 13 tahun meninggal dunia.

“Sebelum ini, memang ada yang nak buat pameran, namun tidak jadi. Apabila Sim menghubungi saya dan memberitahu mahu mengadakan penghormatan kepada karya arwah suami, saya terus bersetuju.

“Alhamdulillah. Ini adalah impian saya mahukan dan sudah tercapai melalui pameran di galeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 11:09 PM