ROKOK yang dirampas anggota PGA. FOTO ihsan PGA
ROKOK yang dirampas anggota PGA. FOTO ihsan PGA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup 50 karton rokok ketika melakukan rondaan di Jalan Kenang Baru, Morib, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Zulafendy Hassan berkata, anggota pasukan rondaannya melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah kenderaan pada 11 malam.

Menurutnya, pasukan rondaan cuba menghampiri lelaki berkenaan tetapi suspek lari ke arah paya bakau selepas menyedari kehadiran polis.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui sembilan kotak mengandungi 50 karton rokok seludup jenama Double Seven.

“Jumlah keseluruhan rokok berkenaan ialah 90,000 batang yang dianggarkan berharga RM60,120 yang diletakkan di bahagian belakang kereta berkenaan,” katanya.

Zulafendy berkata, pemeriksaan ke atas kereta itu juga mendapati casis dan nombor pendaftaran sudah diubahsuai dan didapati palsu.

“Semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Banting untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:59 PM