PGA Batalion 4  berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Banting dan Klang dengan penangkapan dua lelaki tempatan bersama 222 karton rokok. FOTO ihsan PGA Batalion 4
PGA Batalion 4 berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Banting dan Klang dengan penangkapan dua lelaki tempatan bersama 222 karton rokok. FOTO ihsan PGA Batalion 4
Ruwaida Md Zain


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 4 berjaya menahan dua lelaki tempatan bersama 222 karton rokok seludup pelbagai jenama di Jalan Kebun, Klang, Isnin lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Zulafendy Hassan berkata, dalam kejadian jam 4 petang, lelaki yang berusia 19 tahun dan 27 tahun itu ditahan selepas dilihat menaiki sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan rondaan menahan kenderaan yang dinaiki dua lelaki itu dan hasil pemeriksaan, kita menjumpai 222 karton rokok seludup pelbagai jenama yang mengandungi 38,480 batang rokok disembunyikan di dalam kenderaan bernilai RM52,428.80.

"Kita turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda City, tiga unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM18,830.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM135,758.80," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zulafendy berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Klang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

"Tangkapan dan rampasan ini berjaya membantu melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Banting dan Klang.

"Kami menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 2:37 PM