KAKITANGAN pihak berkuasa tempatan membersih gerai makan dalam Program Gotong Royong Membersih Pasar Besar Kuantan, Kuantan. FOTO Asrol Awang
KAKITANGAN pihak berkuasa tempatan membersih gerai makan dalam Program Gotong Royong Membersih Pasar Besar Kuantan, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


PERUNTUKAN sebanyak RM2 juta disediakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk menaik taraf Pasar Kuantan, di Kuantan, yang sudah berusia 48 tahun.

Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin berkata, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu digunakan untuk kerja menambah baik bangunan serta gerai makan dan buah di sekitar pasar berkenaan.

“Kita jangkakan kerja menaik taraf akan dimulakan Jun depan. Sebaik siap kelak, kita meminta kerjasama semua pihak termasuk peniaga supaya mengutamakan kebersihan di dalam dan luar pasar.

“Pasar Besar Kuantan sudah berusia 48 tahun dan kerja penyelenggaraan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengikuti Program Gotong Royong Membersih Pasar Besar Kuantan.

Ia turut disertai lebih 100 kakitangan termasuk dari MPK, Alam Flora Sdn Bhd dan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Hamdan berkata, program gotong royong itu membabitkan kerja pembersihan dan kawalan tikus seperti meracun dan menutup lubang tikus sedia ada.

“Kerja pemangkasan pokok dan mengecat turut dilakukan untuk memastikan keselamatan dan keceriaan pasar berkenaan.

“Saya percaya jika keseluruhan persekitaran pasar bersih, ia akan menjadikannya lebih selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 2:07 PM