Datuk Huzir Mohamed. FOTO arkib NSTP
Datuk Huzir Mohamed. FOTO arkib NSTP
Safeek Affendy Razali


POLIS sedang menyiasat seorang peguam wanita yang mengajak orang ramai untuk berkumpul di Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur, malam ini, dipercayai merujuk kepada pengumuman bakal Perdana Menteri Malaysia.

Peguam Hak Asasi Manusia yang dikenali sebagai Fadiah Nadwa Fikri ini dikesan memuat naik kenyataan yang mengajak orang ramai turun ke jalan sebagai membantah pengkhianatan yang berlaku dalam pemilihan Perdana Menteri menerusi akaun laman sosial Twitter miliknya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata susulan kenyataan itu, polis akan membuka kertas siasatan terhadap individu terbabit.

“Peguam wanita ini mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Turun ke jalan: Demokrasi Mati’ dalam akaun laman sosial miliknya serta mengajak rakyat yang marah untuk berkumpul di Dataran Merdeka.

“Susulan itu siasatan terhadap peguam ini akan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, kerana mengeluarkan satu bentuk kenyataan berbaur hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia,” katanya kepada BH.

Menerusi kenyataan sama oleh Fadiah yang dimuat naik pada jam 6.03 minit petang itu, dia mengajak mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pengkhianatan dalam pemilihan Perdana Menteri untuk berjumpanya di Dataran Merdeka.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 8:47 PM