Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 20 individu yang membawa bendera hitam dan lima patung menyerupai jenazah dikapan berkumpul di Padang Dataran Merdeka, di sini, hari ini, akan dikompaun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kumpulan terbabit dikesan pada 2.55 petang diketuai oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang juga gabungan parti politik.

Menurutnya, semasa himpunan itu berlangsung, dilancarkan kempen puisi bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

"Susulan itu, pada 3 petang, Pasukan Dang Wangi yang diketuai Superintendan Naazron Abdul Yusoff bersama Pasukan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pergi ke tempat kejadian dan mengarahkan kumpulan terbabit supaya bersurai dan beredar dari Padang Dataran Merdeka.

ANTARA individu yang membawa bendera hitam dan lima patung menyerupai jenazah dikapan berkumpul di Padang Dataran Merdeka. FOTO tular media sosial
ANTARA individu yang membawa bendera hitam dan lima patung menyerupai jenazah dikapan berkumpul di Padang Dataran Merdeka. FOTO tular media sosial

"Pada 3.10 petang, kumpulan terbabit bersurai dan beredar sepenuhnya dari Padang Dataran Merdeka. Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal yang dilakukan dapat mengenal pasti tiga individu yang menjadi penganjur himpunan itu.

"Kesemua mereka ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dikompaun atas kesalahan perlanggaran Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 8:26 PM