KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Kampung Lubuk Pinang, Sanglang. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Kampung Lubuk Pinang, Sanglang. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah bas di Lubok Pinang Sanglang, Jitra, hari ini.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari itu, kedua-dua mangsa berusia 40-an yang menaiki kereta Perodua Viva maut di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan pada 12.08 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Che Kob Che Dan tiba di lokasi pada 12.37 tengah hari.

“Setiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Viva dan Toyota Vios serta sebuah bas yang membawa tiga penumpang.

“Dua lelaki yang menaiki Perodua Viva meninggal dunia, manakala penumpang kereta itu cedera di tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, pemandu Toyota Vios pula tiada di lokasi, manakala pemandu dan penumpang bas pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, bas penumpang itu dipercayai terbabas ke tepi jalan disebabkan kemalangan itu.

“Ketika bomba sampai, kesemua mangsa berada di luar kenderaan.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kangar, Perlis untuk mendapatkan rawatan,” katanya sambil menambah mangsa yang meninggal diserah kepada polis.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini identiti kedua-dua mangsa yang maut belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 2:47 PM