MASIR. FOTO NSTP
MASIR. FOTO NSTP
Wartawan NSTP

NAIB Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Masir Kujat turut menyatakan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Aman berkata, partinya tetap dengan pendirian menyokong Dr Mahathir untuk terus menerajui negara.

“Hanya satu nama diberikan dan kita tetap dengan sokongan kepada Tun (Dr Mahathir),” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya lebih lanjut mengenai sesi pertemuan itu, Masir hanya memaklumkan ahli parlimen diminta mengadap Yang di-Pertuan Agong seorang demi seorang.

“Setiap seorang mengambil masa antara dua hingga tiga minit bergantung keadaan. Saya pernah menerima pingat daripada Tuanku, jadi banyak cerita dan lebih lama (sesi pertemuan),” katanya.

Beliau antara 90 ahli parlimen yang dititah menghadiri sesi pertemuan secara bersemuka dengan Yang di-Pertuan Agong bertujuan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 7:06 PM