AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Arkib NSTP
AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Arkib NSTP
Mohd Nasaruddin ParziRaja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Yusri Muzamir dan Nor Ain Mohamed Radhi


HANYA 90 Ahli Parlimen dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Semua Ahli Parlimen itu, bagaimanapun, tidak mengikut parti dengan pertemuan secara bersemuka itu dilakukan secara rawak mengikut kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, menjelaskan proses temu bual itu akan dilakukan sendiri Yang di-Pertuan Agong dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, makluman kepada semua Ahli Parlimen berkenaan dilakukan pihak Istana Negara, semalam, dengan proses itu selaras dengan Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, setiap Ahli Parlimen diperuntukkan antara dua hingga tiga minit untuk menyatakan pandangan masing-masing, sepanjang proses temu bual berlangsung.

“Baki lagi 131 Ahli Parlimen akan dipanggil menghadap baginda, esok, selain keseluruhan proses temu bual ini dijangka tamat pada 7 malam nanti.

“Setakat ini kita tidak boleh dedahkan siapa Ahli Parlimen yang dipanggil menghadap baginda hari ini. Bagaimanapun, tiada sesiapa bekas menteri atau timbalan menteri yang akan menyertai sesi ini.

“Baginda perlu mendapatkan kepercayaan dan keyakinan kepada seseorang yang dipilih (Perdana Menteri),” katanya dalam sesi taklimat ringkas di Pintu Utama Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Proses berkenaan adalah lanjutan daripada pengumuman Mohd Zuki berhubung penerimaan Yang di-Pertuan Agong ke atas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Baginda juga berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu, selaras Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat kepercayaan kepada seseorang dipilih daripada mana-mana Ahli Parlimen yang pada hemat baginda menerima majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ahmad Fadil berkata, ketika ini Istana Negara tidak menetapkan jangka masa khusus bagi melantik perdana menteri baharu, selain sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Baginda turut bertitah bahawa sekarang ini keadaan adalah aman seperti mana yang kita lihat di Istana Negara dan proses ini dijangka akan berterusan di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih daripada Yang di-Pertuan Agong kepada pihak media. Terima kasih dan penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 1:06 PM