TERTUDUH diiringi polis selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
TERTUDUH diiringi polis selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


TINDAKAN wanita memfitnah dua anggota polis meminta suapan di Facebook (FB) membawa padah apabila didenda RM8,000 di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, hari ini.

Bukan itu sahaja, tertuduh Nurfarhana Roslan, 26, turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memfitnah Lans Koperal Noor Zailani Ibrahim dan Lans Koperal Muhammad Izuan Abdullah dengan memuat naik status di FB Anna Farhana kira-kira 5 petang, 23 Mei 2017.

Menerusi status itu, tertuduh menyatakan dua anggota polis terbabit meminta duit untuk merasuah yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim.

Mengikut fakta kes, dua anggota polis itu menjalankan tugas ronda jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Kuala Terengganu antara 11 malam hingga 7 pagi pada 22 hingga 23 Mei 2017.

Mereka menahan tertuduh yang berada dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta Perodua Viva pada 4.30 pagi, 23 Mei 2017.

Anggota polis membuat pemeriksaan dan mendapati tertuduh bersama suaminya, selain lelaki itu didapati tidak mempunyai lesen memandu, namun dia hanya diberi nasihat dan amaran.

Dua anggota polis terbabit beredar dan ternampak status dimuat naik tertuduh yang memfitnah mereka dengan mengatakan mahu meminta duit rasuah kira-kira 5 petang 23 Mei 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 5:28 PM