Zatul Iffah Zolkiply


Jertih: Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan seorang anggota polis yang bertugas dengan menumbuk lelaki terbabit.

Tertuduh, Othman Mamat, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuziana Shakila Raja Mamat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Lans Koperal Mohammad Islahuddin Mohd Ali, 29.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Rahmat, Setiu, jam 12.15 tengah hari pada 14 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman di Mahkamah Majistret Setiu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas bukan sahaja memandu secara merbahaya tetapi turut bertindak bertindak apabila menumbuk anggota polis yang bertugas ketika pemeriksaan di tepi jalan di Kampung Rahmat, Chalok, Bandar Permaisuri, Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 6:09 PM
OTHMAN Mamat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
OTHMAN Mamat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY