POLIS kini berusaha untuk memburu ‘Shahnol Sundara’. FOTO NSTP
POLIS kini berusaha untuk memburu ‘Shahnol Sundara’. FOTO NSTP
Amir Mamat


POLIS sedang mengesan individu menyebarkan berita palsu kononnya terdapat sebuah kapal membawa kru dari Wuhan, China berlabuh di Pelabuhan Kuala Linggi, Melaka, seperti tular di laman sosial Facebook (FB).

Berita palsu itu ditularkan menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘Shahnol Sundara’ yang memuat naik video berdurasi satu minit tiga saat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, usaha mengesan pemilik akaun itu dibuat susulan laporan polis dibuat pihak Jabatan Kesihatan negeri, hari ini.

“Kami menerima laporan dibuat di Balai Polis Durian Tunggal pagi tadi berhubung penyebaran tidak tepat seorang pengguna Facebook yang mendakwa terdapat kapal dari Wuhan berlabuh di Kuala Linggi.

“Buat masa ini suspek masih belum berjaya dikesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, individu berkenaan bertindak memuat naik sebuah video di laman sosial Facebook dengan mendakwa sebuah kapal dagang dari Wuhan yang membawa beberapa anak kapal bersauh di Pelabuhan Kuala Linggi.

Individu itu turut berkongsi kononnya semua kru kapal disaring pasukan paramedik selepas dikatakan baru tiba dari Wuhan sebelum entri itu dipadam kira-kira 15 minit kemudian.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ismail Ali dalam kenyataannya semalam turut menafikan perkara berkenaan selain memaklumkan saringan kesihatan dan penggunaan alat perlindungan diri oleh anggota kesihatan bertugas di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) adalah prosedur biasa sebagai langkah pencegahan dan kawalan kemasukan virus koronavirus baharu.

Dalam pada itu, Mohd Yhazid berkata, kertas siasatan berhubung penularan kenyataan tidak bertanggungjawab itu sudah dibuka.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 8:54 PM