PENGHUNI kuarters perumahan polis Bandar Seri Jempol mengadakan gotong royong. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
PENGHUNI kuarters perumahan polis Bandar Seri Jempol mengadakan gotong royong. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


DUA kuarters polis di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol akan mewakili Negeri Sembilan pada Pertandingan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat Bukit Aman bagi zon selatan.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khaireil Mohd Arif berkata, kuarters terpilih ialah Perumahan Polis Bandar Seri Jempol dan Kuarters Balai Polis Ayer Hitam.

Katanya, Perumahan Polis Bandar Seri Jempol terpilih mewakili negeri ini selepas menjadi johan pertandingan peringkat negeri bagi kategori B, manakala kuarters Balai Polis Ayer Hitam bagi kategori C.

“Hasil bimbingan dan tunjuk ajar daripada Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, kita berjaya mencipta sejarah apabila dua kuarters dari IPD Jempol mewakili Negeri Sembilan.

“Terpilih menyertai pertandingan adalah bonus, namun yang penting bagaimana usaha berterusan daripada semua penghuni untuk menjaga kebersihan bagi mengelak penularan wabak penyakit,” katanya.

Mohd Khairiel berkata, Perumahan Polis Bandar Seri Jempol sudah empat kali dipilih mewakili Negeri Sembilan, manakala Kuarters Balai Polis Ayer Hitam bagi kali kedua.

Katanya, ia hasil amalan gotong royong menjaga kebersihan dan mencantikkan kawasan sekitar.

“Peranan menjaga kebersihan perlu dipikul oleh semua warga kuarters bagi memastikan kebersihan dapat dikekalkan sepanjang masa.

“Kita juga mahu memastikan kuarters polis bebas daripada wabak penyakit sekali gus pegawai dan anggota dapat menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya.

Pertandingan itu turut membabitkan Melaka dan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 11:26 AM