.Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga dari kanan) melakukan lawatan ke pot dadah yang berjaya dimusnahkan dalam Ops Payung di Jalan Satu, Bagan Sungai Besar, hari ini.
.Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga dari kanan) melakukan lawatan ke pot dadah yang berjaya dimusnahkan dalam Ops Payung di Jalan Satu, Bagan Sungai Besar, hari ini.
Amirul Aiman Hamsuddin

KERAJAAN Negeri sudah mengenal pasti 13 kawasan 'hotspot' aktiviti penagihan dadah di seluruh Selangor sejak tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu dilaporkan menurun berbanding 16 kawasan pada tahun sebelumnya.

"Tiga kawasan yang berjaya dipulihkan ialah Bangi, Kajang dan Serdang dan tahun ini sahaja, kita kenal pasti ada 13 kawasan panas.

"Kami sedang berusaha mengurangkan kes penyalahgunaan dadah dari semasa ke semasa. Ini bukan hal yang mudah kerana ia melibatkan ketagihan dan kadang-kadang, mampu berulang semula," katanya.

Amirudin ditemui pada sidang media selepas melakukan lawatan ke pot dadah yang berjaya dimusnahkan dalam Ops Payung di Jalan Satu, Bagan Sungai Besar tadi.

Turut hadir bersama, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Nasir Mamat.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan sebanyak RM 2.4 juta nilai dadah dirampas secara keseluruhan di Selangor.

"Menerusi angka itu, ia menunjukkan betapa serius masalah ini dan memerlukan komitmen sepenuhnya dari semua pihak bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Malah, aktiviti secara bersepadu perlu dilaksanakan termasuk Pusat Khidmat Masyarakat sehingga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pihak sekolah," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengalami sarang penagihan dadah yang dimusnahkan itu, Amirudin berkata, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjalankan Ops Payung di kawasan itu sejak 2018 bagi membanteras aktiviti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 7:45 PM