KETUA Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Syahrunizam Samsudin. FOTO ihsan Touch ‘n Go
KETUA Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Syahrunizam Samsudin. FOTO ihsan Touch ‘n Go
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TOUCH ‘n Go mengumumkan akan mengenakan bayaran sebanyak RM35 untuk tag teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bermula 15 Februari ini.

Sebelum ini, pengguna tidak perlu membayar untuk memasang tag Touch ‘n Go RFID melalui program perintis awam yang dijalankan selama 18 bulan.

Touch 'n Go juga mengumumkan promosi untuk menggalakkan penggunaan tag TNG RFID dari 15 Februari sehingga 15 April ini dengan memberi peluang kepada 40 pemenang bertuah untuk memenangi ‘Ultimate RFID Toll Pass’ yang bernilai RM2,500 setiap satu di Touch ‘n Go eWallet.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Syahrunizam Samsudin berkata, sebanyak satu juta tag Touch’n Go RFID sudah dikeluarkan menerusi program perintis yang dijalankan itu.

“Program ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati pengalaman mobiliti masa depan. Kami akan terus memperluaskan penggunaan teknologi RFID dengan bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk melintasi seluruh ekosistem mobiliti di Malaysia.

“Ini termasuk penggunaan teknologi RFID buat pengisian petrol, parkir, dan jualan runcit pandu-lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syahrunizam berkata, setakat ini, terdapat 70.5 juta kenderaan di seluruh dunia yang menggunakan teknologi RFID.

“Kadar jualan tag RFID dijangka akan meningkat secara kompaun tahunan sebanyak tujuh peratus antara 2017 hingga 2021. Kadar pertumbuhan ini didorong oleh pengguna terutamanya di Asia Pasifik.

“Touch ‘n Go RFID membolehkan pengesanan dan analisis masa nyata yang mampu meningkatkan keberkesanan lalu-lintas, keselamatan jalan raya, dan penggunaan infrastruktur,” katanya.

Menurutnya, pelancaran RFID di Malaysia adalah sejajar dengan usaha kerajaan memperkenalkan lorong aliran bebas (MLFF) bagi meningkatkan prestasi lebuh raya di Malaysia.

“Teknologi RFID akan menjadi daya penggerak penting untuk memudahkan akses penggunaan harian, meningkatkan penguatkuasaan lalu-lintas dan keupayaan pengurusan, mempertingkatkan pengalaman parkir, dan menyokong kerajaan dengan menawarkan perkhidmatan mobiliti yang lebih baik kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 9:42 PM