Pengurus Besar Mobility Shell di Malaysia dan Singapura, Seow Lee Ming (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid pada pelancaran Touch ‘n Go RFID di Stesen Minyak Shell.
Pengurus Besar Mobility Shell di Malaysia dan Singapura, Seow Lee Ming (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid pada pelancaran Touch ‘n Go RFID di Stesen Minyak Shell.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Touch 'n Go Group melakar satu lagi pencapaian penting apabila pengguna produk perkhidmatan itu boleh membuat pengisian petrol tanpa tunai menggunakan Touch 'n Go RFID di 88 stesen minyak Shell seluruh negara.

Program kerjasama dengan Shell dijangka meningkatkan penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) itu di luar tol.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pengguna boleh membuat pembayaran di stesen minyak Shell tanpa memerlukan interaksi dengan aplikasi telefon pintar dan sistem di kaunter.

Beliau berkata, pembayaran dibuat melalui Touch 'n Go eWallet yang dipautkan kepada RFID Touch 'n Go pengguna.

"Kami bernasib baik kerana rakan kongsi, Shell seiring hasrat kami untuk menyediakan pelanggan pengalaman pemanduan tanpa tunai, tanpa sentuh dan membantu kami menambah tawaran yang lebih inovatif untuk kedua-dua pelanggan.

"Setakat ini, kami memberi tumpuan untuk mempromosikan RFID sebagai kaedah pembayaran tol. Namun, gabungan RFID dan eWallet membolehkan kami mengembangkan penggunaannya," katanya dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Touch 'n Go RFID di Stesen Minyak Shell Lebuhraya Persekutuan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Mobility Shell di Malaysia dan Singapura, Seow Lee Ming.

Mengulas lanjut, Effendy berkata, pihaknya turut merancang untuk menambah lebih banyak penggunaan RFID selepas ini.

Sementara itu, Seow berkata, selaras komitmen Shell untuk menjadikan perjalanan harian pelanggan lebih lancar, pihaknya memulakan kerjasama dengan Touch 'n Go melalui kaedah pembayaran baharu menggunakan kemudahan teknologi RFID.

"Kami juga berusaha mengintegrasikan Touch 'n Go RFID bersama rakan kongsi setia BonusLink yang membolehkan pelanggan memperoleh mata dengan setiap pembelian bahan api," katanya.

Katanya, melalui kajian yang dilakukan dengan kerjasama Touch 'n Go selama setahun kepada lebih 10,000 pengguna perintis, pihaknya menerima maklum balas positif.

Ditanya kenapa tempoh masa kajian yang dilaksanakan terlalu lama, Seow berkata, ia memakan masa dalam memastikan teknologi berkenaan benar-benar berkesan dan memudahkan pengguna membuat pembayaran serta pengisian bahan api.

Pelanggan yang mahu menggunakan Touch 'n Go RFID di stesen minyak Shell, tag RFID berkenaan mesti dipautkan ke akaun Touch 'n Go eWallet dan diaktifkan serta pelanggan hanya perlu meletakkan kenderaan di petak pengisian minyak menggunakan RFID yang disediakan.

Pembayaran akan didebit secara automatik daripada Touch n' Go eWallet dan pelanggan boleh membuat pengisian minyak dan nilai tidak digunakan akan dikembalikan ke akaun Touch 'n Go eWallet pelanggan.

Selain itu, bersempena bulan kemerdekaan negara sehingga 16 September ini, Shell dan Touch 'n Go memberi ganjaran kepada 25,000 pelanggan pertama yang membeli bahan api menggunakan perkhidmatan baharu itu.

Mereka hanya perlu mengepam minimum RM50 pada transaksi Touch 'n Go RFID pertama mereka di Shell akan menerima pulangan tunai RM10.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 5:40 PM