ANTARA burung murai yang berjaya dirampas dalam Ops Khazanah di Kanowit. FOTO Harun Yahya
ANTARA burung murai yang berjaya dirampas dalam Ops Khazanah di Kanowit. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 10 terus giat melaksanakan Ops Khazanah di sekitar wilayah tengah Sarawak dengan dua kejayaan dicatatkan dalam dua serbuan di Kanowit dan Sibu semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA, Deputi Superintendan Frediel Nyambong berkata dalam kes pertama, pasukan itu berjaya merampas 30 ekor burung Murai daripada seorang warga Indonesia.

Katanya, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota diketuai Asisten Superintendan Mohd Adirra Ramli telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Ladang Bawan, Kilometer Dua Jalan Tuah di Kanowit sekitar jam 4 petang semalam.

Rumah itu disyaki digunakan sebagai tempat pengumpulan dan penyimpanan burung Murai tanpa lesen yang sah.

“Sejumlah 30 ekor burung Murai dengan anggaran nilai RM24,000 dirampas dalam serbuan itu.”

“Seorang warga Indonesia berusia 45 tahun yang mengaku pemilik kepada burung-burung itu juga ditahan,” katanya dalam satu sidang media di Sibu, hari ini.

Difahamkan, modus operandi suspek kes ini adalah menangkap burung itu, mengumpulnya sebelum dijual kepada orang tengah untuk diseludup keluar ke Indonesia.

Dalam kes kedua pula, Frediel mendedahkan seekor monyet dan landak bernilai kira-kira RM1,200 berjaya dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di jalan Tanjung Kunyit Sibu sekitar jam 11 pagi semalam.

“Seorang lelaki berusia 48 tahun yang adalah pemilik kedua haiwan itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya

Frediel menambah, kesemua barang rampasan dan tangkapan disiasat mengikut Seksyen 29, Ordinan Perlindungan Haiwan 1998 yang boleh membawa kepada hukuman denda RM10,000 dan penjara selama setahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:48 PM