PELANGGAN Plus dianggarkan sebanyak 1.7 juta setiap hari berpeluang menikmati penjimatan dengan penurunan kadar tol bermula tengah malam tadi. FOTO Hafiz Sohaimi
PELANGGAN Plus dianggarkan sebanyak 1.7 juta setiap hari berpeluang menikmati penjimatan dengan penurunan kadar tol bermula tengah malam tadi. FOTO Hafiz Sohaimi
Sri Ayu Kartika Amri

GABUNGAN Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menyambut baik langkah syarikat konsesi Plus Malaysia Berhad (Plus) menurunkan kadar tol 18 peratus yang bermula semalam.

Timbalan Presidennya Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pastinya berita penurunan itu melegakan hati pengguna yang kini sarat dengan bebanan.

“Penurunan ini wajar walaupun tempoh bayaran tol dipanjangkan sehingga 2058, tetapi kita sedia maklum lebuh raya perlu diselenggara dan kos itu diambil daripada sebahagian tol yang dibayar pengguna.

“Sudah pasti kita mahukan lebuh raya dijaga dengan baik dan kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam keadaan elok.

“Disebabkan itu, kita tidak boleh terlalu bergantung dengan kerajaan semata-mata untuk menanggung kos penyelenggaraan lebuh raya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Plus menerusi kenyataan berkata, dengan penurunan tol sebanyak 18 peratus ini, pihaknya akan terus komited memberikan perkhidmatan lebuh raya terbaik pada setiap masa.

Ini termasuk dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya dan pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuh raya kendaliannya.

“Plus juga akan menggiatkan usaha membantu meringankan kos hidup rakyat dan memainkan peranan sebagai rakan negara dalam menyokong usaha kerajaan untuk terus memberi manfaat dan impak yang positif kepada rakyat,” katanya.

Dengan pelaksanaan penurunan tol ini, pelanggan Plus yang dianggarkan sebanyak 1.7 juta setiap hari berpeluang untuk menikmati penjimatan.

Penurunan bayaran tol terbabit akan berkuatkuasa mulai jam 12 tengah malam pada 1 Februari 2020 (Sabtu) di semua lebuh raya kendalian Plus, iaitu Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

Penurunan tol ini akan dilaksanakan bagi semua Kenderaan Penumpang (Kelas 1), Teksi (Kelas 4) dan Bas (Kelas 5) dan kekal sehingga tamat konsesi.

Manakala, bayaran tol bagi lori (Kelas 2 & 3) akan kekal pada kadar sedia ada dan tidak akan dinaikkan sehingga tamat Konsesi Plus pada 2058.

Selain itu, pelanggan yang menggunakan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) turut menikmati penurunan tol berkenaan sebagai tambahan kepada diskaun waktu luar puncak sedia ada bagi semua Kenderaan Penumpang (Kelas 1) serta Teksi (Kelas 4) dan Bas (Kelas 5).

Penurunan tol ini juga akan dilaksanakan untuk Kenderaan Penumpang serta Teksi (Kelas 2) dan Bas (Kelas 3, 4 dan 5) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

Bagi kenderaan Kelas 2 dan mereka yang bekerja di Pulau Pinang yang berdaftar dengan Plus pula akan menikmati penurunan 18 peratus itu sebagai tambahan kepada diskaun 20 peratus sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 8:00 AM