Azman Ismail
Azman Ismail
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) mengambil maklum keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol tahun ini dan akan terus komited membantu negara menghadapi pandemik Covid-19.

Yang Dipertuanya Datuk Azman Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya dan syarikat konsesi lebuh raya juga akan terus memberikan perkhidmatan terbaik demi memastikan keselamatan dan keselesaan semua pengguna lebuh raya.

"PSKLM amat memahami keputusan kerajaan berikutan cabaran melanda negara disebabkan penularan wabak Covid-19.

"Kami memohon sokongan dan kerjasama daripada semua pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhemah dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 seperti yang telah ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak," katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dipetik berkata, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol hingga 31 Disember ini, antaranya membabitkan tiga lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS); Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang sepatutnya mendapat kenaikan mulai 1 Januari 2021.

Selain itu, penangguhan kenaikan tol membabitkan 21 lebuh raya sebelum ini untuk semua kelas kenderaan diteruskan membabitkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS); Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA); Lebuhraya Utara Selatan – Hubungan Tengah (ELITE); Lebuhraya Cheras – Kajang (GRANDSAGA) (v) E8: Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK).

Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1); Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA); Lebuhraya Damansara Puchong (LDP); Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA); Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE); Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX).

Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS); Lebuhraya Senai Desaru (SDE); Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR); Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS); Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH); Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB); Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE); Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Terowong SMART.

Penangguhan kenaikan kadar tol juga diteruskan bagi kelas-kelas kenderaan tertentu di lima lebuh raya iaitu di Lebuhraya SPRINT dengan Plaza Tol Pantai bagi kenderaan kelas 1 dan 5 manakala Plaza Tol Damansara bagi kenderaan kelas 5 sahaja.

Kenaikan tol turut ditangguh bagi kenderaan kelas 1 dan 5 membabitkan Plaza Tol PJS2 dan kenderaan kelas 5 bagi Plaza Tol Pantai Dalam dan PJS5 bagi Lebuhraya Baru Pantai (NPE), manakala bagi Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) untuk semua plaza tolnya bagi kenderaan kelas 5.

Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH) ditangguhkan kenaikan kadar tol bagi kenderaan kelas 1 dan 5 manakala Jambatan Pulau Pinang, penangguhan membabitkan kelas 2, 3, 4 dan 5 yang terdiri daripada kenderaan persendirian dan bas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 9:09 PM