Mohd Khairi (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas di sebuah kedai runcit Sungai Petani. FOTO Zuliaty Zulkifli
Mohd Khairi (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas di sebuah kedai runcit Sungai Petani. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


BUKAN sahaja menjual rokok seludup dengan harga RM5 sekotak, seorang warga Bangladesh berusia 48 tahun ‘kantoi’ apabila rokok seludup dijualnya menggunakan setem cukai palsu.

Perbuatan warga Bangladesh yang juga pemilik kedai runcit di Taman Sejahtera, Sungai Petani dibongkar dalam penyamaran dilakukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Serbuan jam 2.30 petang itu diketuai Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah.

Mohd Khairi berkata, siasatan awal mendapati, warga Bangladesh itu memiliki kedai berkenaan dan suspek dipercayai sudah berkahwin dengan wanita tempatan.

Menurutnya, anggotanya menyamar sebagai pelanggan dan membeli sekotak rokok pada harga RM5 berbanding harga minimum RM10 sekotak.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh dalam premis itu termasuk dalam stor bersebelahan kedai itu, kita menemui 680 karton rokok.

“Kesemua jumlah kotak rokok yang dirampas adalah sebanyak 6,800 kotak yang kita percaya tidak dibayar cukai kastam,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui setem yang mempunyai logo Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dipercayai dipalsukan pada setiap kotak rokok berkenaan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, apabila diimbas pada mesin, ia tidak dapat dibaca dan pihaknya percaya kesemua rokok itu dipercayai diseludup.

“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM17,000 manakala cukainya adalah sebanyak RM12,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai adalah sebanyak RM29,000,” katanya.

Katanya, suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kes kes diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 12:48 PM