Muhamaad Razis Ismail

JABATAN Muzium Malaysia (JMM) mensasarkan kehadiran 3.2 juta pengunjung di semua muzium seliaannya pada tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia ( MOTAC) Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai susulan sebanyak 131 program dan pameran menarik akan diadakan di 22 muzium di bawah kendalian JMM di seluruh negara.

Katanya, jumlah ini secara tidak langsung menyumbang kepada sasaran 30 juta pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Sepanjang 2019, JMM merekodkan seramai 2.78 juta pengunjung muzium berbanding 2.35 juta pada tahun sebelumnya.

“Pada tahun lalu, JMM berjaya mengutip hasil pendapatan RM3.7 juta berbanding RM2.6 juta pada 2018.

“Saya optimis dan yakin jumlah itu akan terus meningkat pada tahun ini apabila JMM mengadakan pelbagai program dan pameran yang mampu menarik kehadiran pengunjung di dalam dan luar negara,” katanya pada majlis perasmian Pameran Negara Kota Yang Hilang, Pameran Kota Pesona Malaysia dan Pelancaran Kalendar Acara 2020 JMM di Muzium Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Mohd Zamri Mat Zain dan Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A Kassim.

Dr Noor Zari Hamat (dua dari kanan) melawat dewan pameran selepas merasmikan Pameran Negara Kota Yang Hilang, Pameran Pesona Malaysia dan Pelancaran Kalendar Acara 2020 Jabatan Muzium Malaysia di Dataran Muzium Negara. FOTO Mustaffa Kamal
Dr Noor Zari Hamat (dua dari kanan) melawat dewan pameran selepas merasmikan Pameran Negara Kota Yang Hilang, Pameran Pesona Malaysia dan Pelancaran Kalendar Acara 2020 Jabatan Muzium Malaysia di Dataran Muzium Negara. FOTO Mustaffa Kamal

Pameran Negara Kota Yang Hilang bermula 4 Disember lalu hingga 30 April 2020 manakala Pameran Pesona Malaysia bermula 25 Disember lalu hingga 23 Mei 2020.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua pameran ini memaparkan sejarah ketamadunan bangsa serta warisan budaya negara.

“Saya difahamkan Pameran Negara Kota Lama Yang Hilang memaparkan mengenai sejarah kewujudan kerajaan awal di Asia Tenggara.

“Manakala melalui Pameran Pesona Malaysia, pengunjung disajikan dengan kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakatnya yang menjadikan Malaysia unik sekali gus menjadi pakej lengkap destinasi pelancongan,” katanya.

Menurutnya, pelancaran kalendar program 2020 JMM juga dapat meningkatkan jumlah pengunjung ke muzium di seluruh Malaysia.

“Antara program yang akan dijalankan termasuk Pameran Firaun, Pameran Paranormal dan Pameran Ular.

“Saya yakin program ini mampu memberi impak tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 6:13 PM