TIGA buku itu boleh didapati di Perpustakaan JMM di Muzium Negara.
TIGA buku itu boleh didapati di Perpustakaan JMM di Muzium Negara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Jabatan Muzium Malaysia (JMM) melancarkan tiga buku yang menampilkan keistimewaan tersendiri.

Tiga buka berkenaan berjudul Makam-Makam Islam Lama di Maritim Asia Tenggara, The Chitties of Melaka dan Malaysia Museums Journal.

Pelancaran disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang diadakan serentak dengan perasmian Pameran Kartun dan Kita serta Kalendar Acara JMM 2018 di Dataran Muzium Negara, baru-baru ini.

Ketua Pengarah JMM Datuk Bahrin A Kasim berkata, Buku Makam-Makam Islam Lama di Maritim Asia Tenggara itu memperkenalkan sejumlah hasil penyelidikan berkenaan makam Islam zaman silam dilakukan di Maritim Asia Tenggara selama 20 tahun yang kebanyakannya diterbitkan dalam bahasa Perancis.

“Buku terbabit turut memuatkan dua hasil kajian asli terbaru berkenaan makam di Malaysia iaitu memperkenalkan sejenis batu nisan dari Melaka yang belum pernah diketengahkan sebelum ini. Satu lagi berkenaan sebuah makam Cina Islam juga dari negeri berkenaan.

“Seramai sembilan pengkaji menyumbangkan penulisan mereka dalam buku berkenaan iaitu Claude Guillot, Ludvik Kalus, Kamarudin Abd Razak, Mokthar Tamby Ahmad, Daniel Perret, Rosaidee Mohamed, Samsol Sahar, Sharipah Lok Lok Syed Idrus dan Heddy Surachman,” katanya kepada Nuansa.

MOHAMED Nazri hadir melancarkan tiga buku terbitan JMM, merasmikan Pameran Kartun dan Kita serta Kalendar Acara JMM 2018 di Dataran Muzium Negara, baru-baru ini.
MOHAMED Nazri hadir melancarkan tiga buku terbitan JMM, merasmikan Pameran Kartun dan Kita serta Kalendar Acara JMM 2018 di Dataran Muzium Negara, baru-baru ini.

Sementara itu, buku The Chitties of Melaka pula adalah terbitan bersama antara JMM dengan Sukarelawan Muzium (SM) yang ditulis Karen Loh dan Jegatheesan Vellupillay.

“Ia juga hasil kajian komprehensif SM yang merangkumi aspek sejarah, kebudayaan, agama dan bahasa komuniti Chitty di Melaka.

“Penulisan berkisar masyarakat Chitty di Melaka iaitu masyarakat minoriti yang kehadirannya di negeri itu kurang diberi pendedahan kepada umum.

“Jika tidak diberi pendedahan seperti itu, berkemungkinan budaya masyarakat terbabit terus lenyap ditelan arus kemodenan,” katanya.

Katanya, satu lagi buku ialah Malaysia Museum Journal iaitu jurnal berwasit yang boleh menyemarakkan lagi tradisi wacana ilmu di peringkat pendidikan global.

Penerbitan berkala itu juga mengetengahkan peranan penting yang dimainkan JMM sebagai sebuah institusi pendidikan tidak formal.

PENOLONG Kurator Bahagian Penyelidikan dan pendokumentasian JMM Rosaidi Mohamed menunjukkan tiga buku terbitan JMM.
PENOLONG Kurator Bahagian Penyelidikan dan pendokumentasian JMM Rosaidi Mohamed menunjukkan tiga buku terbitan JMM.

“Jurnal berwasit adalah hasil kajian yang dilaksanakan pengamal atau penggiat muzium dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang mempunyai kepakaran kursus dalam bidang permuziuman.

“Terdapat lapan kertas kerja dalam jurnal itu yang dibentangkan dalam beberapa siri Bicara@Muzium, seminar dan forum sepanjang 2016.

“Ia membicarakan berkenaan sejarah, koleksi, budaya dan pendidikan muzium yang dapat memperkukuhkan bukti membabitkan khazanah warisan negara,” katanya yang memaklumkan buku terbabit boleh didapati di Perpustakaan JMM di Muzium Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 1:38 PM