ANTARA burung terlindung yang dirampas. FOTO Erika George
ANTARA burung terlindung yang dirampas. FOTO Erika George
Erika George

PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 18 haiwan terancam pelbagai spesies dianggarkan bernilai RM30,150 dalam serbuan di Miri, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, pasukan itu yang diketuai Asisten Superintendan Ho Chee Kun menyerbu premis berkenaan pada 10.15 pagi bagi menjalankan pemeriksaan.

“Sejurus masuk, pasukan kita menjumpai pelbagai jenis burung liar spesies terancam yang disimpan dalam sangkar mengikut gred dan baka burung terbabit,” katanya.

Lelaki, 55, dipercayai penjaga premis turut ditahan.

Antara spesis yang diselamatkan ialah empat burung murai kampung, seekor burung Lovebird, seekor burung Serindit (hanging parrot), seekor burung King-King, dua burung Tiong Mas (Mommon Hill Myna), tiga burung Kapas Tembak, tiga burung Murai Batu, dua burung Merbuk Balam (Zebra Dove), seekor Burung Merbuk Siam dan dua ‘Sugar Glider’ (Petaurus Breviceps).

Katanya lagi, pemeriksaan lanjut yang dijalankan turut mendapati lelaki terbabit gagal menunjukkan dokumen serta permit sah untuk memiliki semua spesies hidupan liar yg berada di premis itu.

Pemilik premis terbabit kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan manakala kesemua hidupan liar terbabit dirampas dan akan diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) Cawangan Miri untuk siasatan mengikut Seksyen 29 Sarawak Wildlife Protection Ordinance 1988.

“Dengan tertangkapnya suspek menjadi antara kejayaan PGA khususnya dalam membanteras kegiatan penyeludupan haiwan spesies terlindung di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 11:38 AM