Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“BERADA di masjid ketika di Syria adalah perkara sangat menakutkan, bila-bila masa saja kita boleh mati,” kata Abu Faris.

Lelaki berusia 73 tahun itu yang juga bilal di Masjid Kem Yasmin di Lembah Beqaa, Lubnan, berkata pada 2013 dan 2014, masjid menjadi sasaran utama ketika peperangan berlaku di Syria.

“Dulu kalau ingin solat rasa takut, bunyi dentuman bom dan raifal sering menghantui penduduk setempat, kebanyakan mereka tidak akan ke masjid kerana masjid menjadi sasaran utama.

“Ada terbunuh ketika sedang solat di masjid, mereka yang tidak berdosa dibom tanpa belas kasihan,” katanya sebelum diterjemah penterjemah Aman Palestin.

Abu Faris berkata, dia kini menjadi bilal tetap di Kem Al-Yasmin dengan bayaran USD 100 (RM400) sejak tiga tahun lalu.

“Alhamdulillah di masjid ini, kami dapat berkumpul beramai-ramai mengerjakan solat secara berjemaah tanpa sebarang gangguan.

“Kebanyakan pelarian di sini mengerjakan solat lima waktu di masjid ini, cuma jika waktu bekerja jemaah tidak terlalu ramai,” katanya.

ABU Faris (kiri) menceritakan pengalaman ketika di Syria sebelum kini menjadi bilal di Masjid Kem Yasmin di Lembah Beqaa, Lubnan. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
ABU Faris (kiri) menceritakan pengalaman ketika di Syria sebelum kini menjadi bilal di Masjid Kem Yasmin di Lembah Beqaa, Lubnan. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.

Sementara itu, Pengarah Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Anas Abdul Wahab berkata, masjid di kem berkenaan sudah dibina sejak tiga tahun lalu.

“Namun keadaan masjid yang uzur dengan mempunyai hamparan tikar sahaja ditambah baik menerusi sumbangan rakyat Malaysia.

“Tahun lalu Aman Palestin menambah baik masjid ini dengan kelengkapan pemanas, karpet, sistem audio, tandas dan lampu,” katanya.

Anas berkata, masjid itu dijadikan tempat untuk solat Jumaat bagi tiga kem berdekatan dan mampu memuatkan kira-kira 400 jemaah.

“Masjid berkenaan dibina dengan kabin dan berlantaikan kayu serta dialas dengan karpet bagi memberi keselesaan kepada jemaah.

“Di kem berdekatan seperti Kem Al-Awdah hanya terdapat surau bagi membolehkan pelarian menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:41 PM