MAYAT warga asing yang dijumpai. FOTO IHSAN APMM
MAYAT warga asing yang dijumpai. FOTO IHSAN APMM
Oleh Mohd Roji Kawi


SEORANG pekerja asing warga Myanmar yang dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Samalaju Rabu lalu, ditemui mati lemas hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu, Kepten Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, mayat Aung Thu, 27, ditemukan pada jam 10.23 pagi terdampar di tepi pantai, 2.3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Waris mangsa sudah dipanggil bagi membuat pengecaman dan mereka mengesahkan mayat itu adalah lelaki yang dilaporkan hilang di Pantai Samalaju pada malam Rabu lalu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mangsa dilaporkan hilang ketika mandi bersama tujuh rakannya di kawasan pantai Samalaju berhampiran dengan Pelabuhan Industri Samalaju, kira-kira jam 7 malam.

Operasi SAR dilancarkan sebaik sahaja laporan polis dibuat rakannya yang mendakwa mangsa hilang dibawa arus deras dan usaha mereka untuk menyelamatkannya gagal.

Selain APMM, operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am, Polis Bantuan Pelabuhan Samalaju, dan Lembaga Kemajuan Bintulu.

#kw lemas, warga Myanmar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 2:59 PM