KEADAAN suspek yang ditangkap penduduk. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN suspek yang ditangkap penduduk. FOTO Ihsan Pembaca.
Syaherah Mustafa


TINDAKAN seorang lelaki yang cuba mencuri motosikal di Kampung Gelong Gajah, Bunut Susu, Pasir Mas, gagal apabila ditahan penduduk, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, lelaki berusia 23 tahun terbabit turut luka dan lebam di beberapa bahagian badan akibat pergelutan dengan penduduk yang cuba menangkapnya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek bersama seorang lagi rakannya yang berjaya melarikan diri cuba mencuri sebuah motosikal EX5 Dream ditunggang wanita berusia 20 tahun.

“Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang daripada tempat kerja di sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu sebelum menyedari diekori dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda C70.

“Suspek bertindak agresif dengan menahan dan menolak mangsa dengan kuat sehingga wanita itu terjatuh. “Bagaimanapun, mangsa sempat memegang baju yang dipakai suspek dan berlaku pergelutan antara mereka,” katanya hari ini.

Mohamad Roy berkata, sekumpulan penduduk yang berada di kawasan berhampiran mendengar jeritan mangsa sebelum bergegas memberi bantuan.

Katanya, kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan motosikal mereka ke arah Kampung Tempoyak, Bunut Susu, di sini, namun terbabas dan terjatuh.

“Hanya seorang suspek dapat ditangkap, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri, ketika ini kami dalam usaha mengesan suspek kedua.

“Modus operandi suspek adalah mengekori mangsa, dan apabila tiba di tempat gelap mereka akan bertindak agresif dengan menolak dan mencederakan mangsa sebelum melarikan motosikal,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku cuba mencuri dan melarikan motosikal milik mangsa bersama seorang rakan dikenali Stopa yang tinggal di Kampung Gadong, Tumpat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:37 PM