NANAS cobek yang ditanam Mohd Alida’em. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
NANAS cobek yang ditanam Mohd Alida’em. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


NANAS biasanya berduri dan perlu dipotong dengan pisau untuk menikmati isinya.

Namun, nanas yang ditanam Mohd Alida’em Ibrahim, 46, hanya perlu dicubit jika mahu dimakan dan rasanya manis.

Petani yang mempunyai ladang dinamakan Daimler Goxvilla di Pulau Kerbau, Tumpat itu menanam nanas berkenaan di tanah seluas 11.2 hektar, bersama jenis MD2 dan madu kaca.

“Nanas ini dinamakan cobek atau cubit dan masih baharu di negara ini. Saya sendiri menanamnya dua tahun lalu secara kecil-kecilan.

“Benihnya dari Taiwan yang saya peroleh daripada rakan dan saya mula menanamnya di ladang kerana potensinya di pasaran tempatan.

MOHD Alida’em (kiri) menunjukkan nanas cobek di ladangnya di Pulau Kerbau, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MOHD Alida’em (kiri) menunjukkan nanas cobek di ladangnya di Pulau Kerbau, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

“Jenis ini sudah ada di Brazil, Taiwan dan Thailand tetapi ia variasi baharu di negara kita,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa hadir melawat ladang Mohd Alida’em dan turut memuji aktiviti pertanian pelbagai yang dijalankannya.

Mengulas keistimewaan nanas cobek, Mohd Alida’em berkata, selain isinya yang manis, jambulnya juga lebih kecil dan mempunyai empulur lembut dan boleh dimakan.

Dia yang juga kontraktor binaan berkata, nanas itu mengambil masa 12 hingga 18 bulan untuk matang sebelum dijual pada harga RM10 sekilogram.

“Proses penanamannya agak mudah dan tidak memerlukan air, cuma dalam tempoh tiga atau empat bulan sekali perlu tabur baja,” katanya yang menggunakan racun untuk mengelak tanaman rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 6:34 PM