Siti Rohana Idris


Tumpat: Penantian selama 15 bulan akhirnya membuahkan hasil apabila kira-kira dua tan nanas cobek yang ditanam berjaya dituai.

Penanaman sebanyak 20,000 pohon di tanah seluas dua hektar itu dijalankan oleh Mohd Alida'em Ibrahim, 47 di ladangnya yang terletak di Pulau Kerbau, di sini.

Mohd Alida'em berkata, tuaian pertama hasil tanaman pada hujung 2019 lalu memperoleh hasil dianggarkan sebanyaj RM15,000.

"Bulan lalu nanas cobek sudah mula dituai dan Alhamdulillah, buahnya menjadi dan dalam masa singkat sudah terjual.

"Nanas cobek dijual pada harga antara RM6 hingga RM8 bergantung kepada gred dan diakui harganya sedikit mahal berbanding nanas lain disebabkan variasinya masih baharu di negara kita selain rasanya manis luar biasa," katanya ketika ditemui di ladangnya, di sini, hari ini.

Dinamakan nanas cobek berikutan cara untuk memakannya tidak perlu menggunakan pisau untuk dipotong, sebaliknya boleh dicubit mengikut ruas sahaja.

Mohd Alida'em berkata, selain isinya yang manis, jambul nanas cobek juga lebih kecil dan mempunyai empulur lembut yang boleh dimakan.

Menurutnya, selain nanas cobek, keseluruhan ladangnya seluas 11 hektar itu turut ditanam dengan nanas jenis MD2.

"Saya juga merancang untuk menghasilkan jus nanas dan jem, namun belum boleh dijalankan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 3:50 PM
Mohd Alida’em Ibrahim, 47, menunjukkan nanas jenis MD2 di stor ladangnya di Daimler Goxvilla di Pulau Kerbau, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Mohd Alida’em Ibrahim, 47, menunjukkan nanas jenis MD2 di stor ladangnya di Daimler Goxvilla di Pulau Kerbau, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS