Noorazura Abdul Rahman


SUAMI isteri kempunan untuk meraikan hasil samun mereka selepas dicekup penduduk sebaik meragut beg tangan seorang wanita di Kampung Sungai Semiar, Jeneri, Sik, semalam.

Kedua-duanya berusia 20 dan 21 tahun serta menunggang motosikal ditangkap dua orang awam yang mengejar mereka (dengan motosikal) selepas melihat kejadian itu pada 6.15 petang.

Difahamkan, modus operandi mereka adalah dengan bertanyakan jalan kepada mangsa yang turut menunggang motosikal, sebelum melarikan beg tangan yang berada di dalam raga.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, suspek berjaya ditangkap penduduk selepas motosikal suspek terbabas dan mereka terjatuh.

“Penduduk prihatin itu kemudiannya menghubungi polis dan suspek dibawa pasukan dari Balai Polis Jeniang untuk tindakan lanjut.

“Disebabkan terjatuh, suspek lelaki yang berusia 20 tahun luka di kepala,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, kedua-dua suspek berasal dari Jeniang, mengaku sudah tiga kali melakukan jenayah itu di sekitar kawasan berkenaan.

Susulan tertangkapnya mereka, polis menemui semula beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai RM50.

“Selain itu, pisau bersarung milik suspek sepanjang 10 inci turut dirampas, manakala motosikal Modenas yang ditunggang disita.

“Siasatan mendapati, suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD).

“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 11:58 AM
SUAMI isteri yang ditahan penduduk kerana meragut. FOTO Ihsan pembaca.
SUAMI isteri yang ditahan penduduk kerana meragut. FOTO Ihsan pembaca.