Kenderaan yang digunakan oleh suspek menjalankan kegiatan penyeludupan migran. FOTO IHSAN PDRM
Kenderaan yang digunakan oleh suspek menjalankan kegiatan penyeludupan migran. FOTO IHSAN PDRM
Juwan Riduan


POLIS menahan 12 individu termasuk tujuh warga asing selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran di Simpang Tamoi di sini, semalam.

Operasi kira-kira jam 9 malam yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, turut merampas dua laras senjata api buatan sendiri bakakuk.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menahan sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan terhadap Toyota Hilux terdapat lapan individu termasuk pemandu dan enam penumpang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Seterusnya pemeriksaan ke atas lori menemukan empat lelaki termasuk pemandu dan seorang daripada turut gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

“Semua tangkapan dan kenderaan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, pemeriksaan dilakukan semula ke atas Toyota Hilux di perkarangan IPD Lahad Datu menemukan satu objek yang dibungkus menggunakan tiub tayar mengandungi dua laras senapang bakakuk yang dilerai.

“Empat lelaki dan seorang wanita adalah warga tempatan berusia 30 hingga 62 tahun manakala tujuh termasuk empat wanita berusia empat hingga 38 tahun adalah warga Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati semua mereka dalam perjalanan dari Ranau menuju ke Tungku untuk berpindah tempat kerja sebagai buruh ladang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen dan Seksyan 8 Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 8:31 PM