DEPUTI Superintendan Shahnaz Akhtar Haji (kanan) melakukan pemantauan di kawasan peranginan Titi Hayun yang terjejas akibat kejadian air deras. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
DEPUTI Superintendan Shahnaz Akhtar Haji (kanan) melakukan pemantauan di kawasan peranginan Titi Hayun yang terjejas akibat kejadian air deras. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli

Yan: Kawasan peranginan Titi Hayun di sini, masih ditutup kepada orang ramai sejak Ogos lalu berikutan kejadian kepala air yang berlaku sebelum ini selain kejadian air deras yang menyebabkan limpahan air semalam.

Tinjauan di lokasi hari ini mendapati kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah sebelum ini dipenuhi batu di tengah jalan akibat dihanyutkan air dalam kejadian air deras dari Gunung Jerai disebabkan hujan lebat semalam.

Turut didapati ada aliran air baharu dikesan di situ selain kerosakan di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata selain Titi Hayun, dua lagi pusat rekreasi iaitu Batu Hampar dan Seri Perigi turut ditutup untuk orang ramai.

Menurutnya, kawasan Gunung Jerai juga turut ditutup untuk kerja pembersihan akibat kejadian kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

"Selain itu, kita dapati semua kawasan berkenaan masih tidak selamat dikunjungi berikutan perubahan cuaca hujan yang berlaku sejak beberapa hari lalu boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

"Saya nasihatkan penduduk yang sering terjejas dengan banjir supaya sentiasa bersiap sedia sekiranya hujan berterusan di kawasan itu," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan pemantauan di kawasan Titi Hayun.

Shahnaz berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dibuka semula di Pejabat Daerah Yan dan penduduk yang terjejas dengan banjir boleh berhubung di situ.

Beliau berkata, pihaknya turut bergabung dengan semua agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Pejabat Daerah Yan untuk melakukan pemantauan berterusan di kawasan terjejas.

"Pemantauan berkala juga dilakukan berterusan dan tertumpu di kawasan yang berisiko rendah yang sering dinaiki air," katanya.

Shahnaz berkata, sebanyak 386 buah rumah di daerah itu terjejas akibat banjir semalam iaitu di Mukim Yan yang membabitkan 286 rumah, manakala di Mukim Singkir membabitkan 100 rumah.

Antara kampung terbabit di Yan ialah Kampung Teroi Bukit, Kampung Ruat, Kampung Perigi, Kampung Setol, Kampung Dusun Manggis, Rendang Pasir dan Kampung Tohor.

Selain itu, Pekan Sungai Yan, Kampung Lubok Boi, Telok Mat Acheh, Titi Bakong, Seberang Pekan Yan, Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Titi Teras, Kampung Permatang Keramat dan Taman Perumahan Awam 2 Pantai Murni.

"Di Mukim Singkir membabitkan Singkir Darat dan Singkir Genting.

"Bagaimanapun tiada mangsa dipindahkan setakat ini berikutan air mulai surut namun pemantauan masih dilakukan berikutan keadaan cuaca yang kembali mendung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 3:37 PM