DR LEE (dua dari kiri), Dr Wan Noraini, Dr Abdul Razak dan Dr Zamberi bersama-sama moderator (kiri)  pada sesi dialog itu.
DR LEE (dua dari kiri), Dr Wan Noraini, Dr Abdul Razak dan Dr Zamberi bersama-sama moderator (kiri) pada sesi dialog itu.
Faizatul Farlin Farush Khan


Ramai rakyat Malaysia mengandaikan imunisasi hanya khusus untuk kanak-kanak atau diberikan sebelum mengembara ke luar negara.

Bagaimanapun, berbeza daripada kanak-kanak, golongan dewasa mempunyai kemungkinan 100 kali lebih tinggi meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Satu daripada penyakit boleh dicegah melalui vaksin yang paling kurang diberi perhatian ialah influenza atau flu.

Malah, ramai menganggap mereka mengalami flu atau selesema apabila jatuh sakit dengan sangkaan kedua-duanya penyakit yang sama.

Walaupun beberapa simptomnya serupa dan kedua-dua penyakit berpunca daripada virus, menurut pakar, influenza boleh membawa mudarat kepada orang dewasa yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, kadangkala menyebabkan kerumitan yang mengakibatkan pesakit dimasukkan ke hospital.

Perbezaan antara flu dan selesema amat penting untuk dikenal pasti kerana ia dapat membantu merawat dan mengelak masalah kesihatan lebih serius.

Selesema memiliki simptom kurang berat berbanding flu. Antara simptom flu yang tidak ada pada selesema ialah sakit otot dan badan terasa lenguh, rasa amat penat, sesak nafas, sakit tekak, demam panas beberapa hari hingga berlarutan lebih seminggu, sakit kepala yang teruk dan batuk berpanjangan.

Flu juga boleh menyebabkan batuk serius sehingga menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan (bronkitis) ataupun paru-paru (pneumonia) yang boleh mengancam nyawa.

Satu lagi salah tanggapan ialah jangkitan influenza itu bermusim. Walaupun ini mungkin benar bagi negara beriklim sederhana, memandangkan Malaysia sering mengalami hujan, kemungkinan dijangkiti influenza yang mudah tersebar wujud pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Walaupun menghadapi pelbagai faktor risiko, golongan dewasa jarang melihat pemvaksinan sebagai cara untuk melindungi kesihatan mereka terhadap influenza.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran, satu sesi dialog media diadakan untuk membincangkan antara sebab golongan dewasa mengabaikan pemvaksinan sebagai cara melindungi kesihatan.

Dialog berkenaan juga membincangkan sebab penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti influenza lazimnya kurang mendapat perhatian.

Sesi itu disampaikan oleh Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) dan disokong oleh divisyen vaksin, Sanofi Pasteur dari syarikat farmaseutikal antarabangsa, Sanofi.

Panel dianggotai oleh Presiden MSIDC, Profesor Dr Zamberi Sekawi; Ketua dan Pakar Perunding Perubatan Kanan (Penyakit Berjangkit) Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong; Pakar Perunding Kanan Respiratori Institut Perubatan Respiratori (IPR) Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif dan Ketua Sektor Pemantauan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Wan Noraini Wan Mohamed Noor.

Dr Zamberi berkata, ketetapan minda terhadap pemvaksinan dewasa wujud terutama kerana kurang kesedaran. Selama ini, masyarakat lebih memberi tumpuan terhadap pemvaksinan sebagai cara melindungi kesihatan anak, tetapi apabila seseorang meningkat dewasa, gaya hidup semakin berubah.

“Sistem imun kita kadangkala semakin lemah. Tambahan pula, bakteria dan virus boleh mengalami evolusi. Walaupun pandangan rakyat Malaysia mengenai pemvaksinan dewasa tidak berbeza berbanding beberapa negara lain di Asia Tenggara, penggunaan vaksin influenza di Malaysia sangat rendah,” katanya.

Pada masa sama, Dr Lee berkata, golongan dewasa berisiko tinggi perlu mengambil langkah lebih berjaga-jaga. Warga tua, golongan usia pertengahan yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung dan kumpulan penjaga mereka termasuk dalam kumpulan itu.

“Apabila seseorang menghadapi risiko lebih tinggi, penyakit berjangkit seperti influenza boleh mendatangkan kesan serius jika tidak dirawat, sehingga menyebabkan kemasukan hospital, dan dalam kes tertentu, kehilangan nyawa.

“Pemvaksinan memberikan tahap perlindungan berbeza-beza sehingga pengurangan 77 peratus dalam kemasukan ke hospital dalam kes influenza. Namun menerusi pemvaksinan, seseorang mungkin mempunyai keupayaan lebih tinggi untuk menentang penyakit,” katanya.

Sementara itu, Dr Razak menekankan pemvaksinan satu-satunya strategi praktikal untuk menentang penyakit berjangkit yang boleh dicegah vaksin seperti influenza.

Katanya, terdapat jenis virus berbeza yang tersebar setiap tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia meramalkan jenis yang mungkin berleluasa dan mengesyorkan jenis vaksin yang sesuai setiap tahun.

“Golongan dewasa boleh bertanya doktor atau pakar perubatan mereka mengenai pemvaksinan sebagai cara umum untuk melindungi kesihatan mereka,” katanya.

Di Malaysia, vaksin boleh didapati di pusat perubatan dan klinik swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 4:55 AM