Mohd Sabran Md Sani


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Taman Perling di Johor Bahru, melakar sejarah apabila menjadi sekolah pertama di negara ini memperkenalkan sistem imbasan mata bagi merekodkan kehadiran murid.

Guru besar sekolah itu, Zamri Abd Wahab berkata, sistem canggih itu hasil sumbangan Myra HUB Foundation dalam membantu merekodkan kehadiran murid yang bersifat mesra pengguna.

“Berbanding sistem biometrik menggunakan imbasan cap jari yang kini diperkenalkan di kebanyakan sekolah, sistem baharu itu mengurangkan bebanan guru dalam merekodkan kehadiran murid setiap hari.

“Usaha itu juga dapat merangsang murid hadir ke sekolah sekali gus mengelak gejala ponteng, selain mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) 95 peratus kehadiran pelajar ke sekolah,” katanya ditemui di sekolah itu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif RN Technologies Sdn Bhd, Dr Faridahanim Ahmad.

Katanya, idea memperkenalkan sistem itu dibincangkan tahun lalu dalam usaha meningkatkan kehadiran murid ke sekolah.

“Pada mulanya, kita juga ingin memperkenalkan kaedah imbasan kad, namun kebarangkalian ia hilang, tinggi terutama penggunaan kalangan murid Tahun Satu.

“Perbincangan bersama Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Suhaila Ahmad, yang juga pengasas yayasan itu menemukan formula sistem itu,” katanya.

Katanya, sistem bernilai lebih RM50,000 itu hanya menggunakan imbasan mata dan bukan keseluruhan muka.

“Bagi memastikan ia berfungsi, data akan dimasukkan ke dalam sistem dan kehadiran murid dapat direkodkan dalam tempoh masa dua saat bagi seorang murid.

“Data akan diambil dan dipindahkan ke pangkalan data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) Kementerian Pendidikan.

“Jadi guru tidak perlu lagi merekodkan kehadiran murid,” katanya.

R. Kivesha murid Sekolah Kebangsaan Taman Perling menggunakan teknologi peranti pengimbas muka untuk mendaftar kehadiran ke sekolah pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
R. Kivesha murid Sekolah Kebangsaan Taman Perling menggunakan teknologi peranti pengimbas muka untuk mendaftar kehadiran ke sekolah pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

Mengulas lanjut katanya, buat permulaan data 76 guru sekolah itu sudah direkodkan, manakala maklumat murid termasuk rekod nombor identiti dilakukan pada sesi persekolahan minggu pertama ini.

“Proses merekod bagi kali pertama mengambil masa 10 saat, sebelum guru akan memasukkan data murid di dalam pengkalan data sekolah dan proses imbasan seterusnya mengambil masa dua saat,” katanya.

Katanya, seramai 1,034 murid Tahun Satu hingga Enam memperoleh manfaat daripada sistem diperkenalkan itu.

“Ia sekali gus menjadikan sesi persekolahan murid lebih menyeronokkan, selain meningkatkan kehadiran ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bercadang memperluaskan sistem itu kepada ibu bapa murid tahun depan sekaligus membantu dalam isu keselamatan murid.

Dalam pada itu, Suhaila berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyumbangkan sistem imbasan mata dalam merekodkan kehadiran murid ke sekolah.

“Sistem ini akan mengenalpasti 30 titik sudut mata murid, guru dan kakitangan sekolah dalam proses mengimbas wajah sebelum data kehadiran mereka disimpan.

“Kos pemasangan, perisian dan penyelenggaraan berjumlah lebih RM50,000 semuanya dibiayai yayasan menerusi teknologi dibangunkan RN Technologies Sdn Bhd.

Sementara itu, murid Tahun Enam, R Kivesha, 12, berkata, dia berbangga sekolahnya menyediakan sistem terbaharu dalam merekodkan kehadiran murid.

“Kaedah penggunaannya juga mudah dan ringkas dan kami hanya perlu mengimbas mata pada alat pengimbas disediakan di dewan berdekatan pintu masuk sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 10:15 AM