Nurul Fhatihah Zakinan


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan lapan tahun di restoran 24 jam di Batu Berendam, Selasa lalu.

Tertuduh, Mohamad Heri Ramli, 32, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak itu di sebuah restoran yang beroperasi 24 jam di Batu Berendam antara 10 hingga 10.15 pagi, 24 Disember lalu.

TERTUDUH (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.
TERTUDUH (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh, berikutan mangsa membabitkan kanak-kanak.

Tertuduh pula, tidak diwakili peguam.

Ahmad Sazali kemudiannya memutuskan tertuduh tidak boleh diikat jamin dan menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 2:54 PM