Amir Mamat


WARGA emas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, pada 9 Julai lalu.

Tertuduh, Abdul Rahman Ahmad berusia 70 tahun mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki bujang yang bekerja sebagai nelayan itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa jam 3.30 petang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pondok di kawasan semak di tepi Jalan Syed Abdul Aziz di Melaka Tengah.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju T hitam dan berseluar jeans dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadapnya.

TERTUDUH dipenjara lapan tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia lapan tahun. FOTO Amir Mamat
TERTUDUH dipenjara lapan tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia lapan tahun. FOTO Amir Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 3:11 PM