FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
BERNAMA

TUJUH lelaki ditahan polis dalam tunjuk perasaan membabitkan 200 orang bagi membantah operasi Op Lestari 2 untuk merobohkan kebun sayur haram dan struktur bangunan di kawasan tanah tinggi di Cameron Highlands, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tujuh lelaki berkenaan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, Op Lestari 2 dijalankan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dengan dibantu beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, polis ditugaskan mengawal keselamatan petugas menjalankan operasi itu di tanah kebun haram seluas 97.12 hektar membabitkan 60 pemilik dan kebanyakannya diusahakan di Sungai Ichat, Kuala Terla.

“Pada 10.30 pagi, lebih kurang 200 orang berkumpul di jalan masuk ke Ipoh Road, Kuala Terla dengan tujuan untuk memasuki lokasi operasi.

“Kebanyakan mereka berhimpun di atas jalan utama dan menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku.

“Saya berbincang beberapa kali dengan kumpulan terbabit untuk bersurai, namun mereka enggan memberikan kerjasama dan akhirnya tindakan menyuraikan serta menangkap dijalankan.

“Setakat ini keadaan kembali tenang. Operasi hari ini tamat pada 5 petang dan akan disambung esok,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 9 Disember lalu bersetuju Op Lestari 2 diteruskan bermula 16 Dis lelalu.

Pada 7 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika meninjau kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya di Sungai Ichat bertitah agar pencerobohan di lokasi berkenaan dihentikan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 11:38 PM