TAN Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. FOTO Arkib NSTP.
TAN Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

PERBICARAAN kes pecah amanah dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang sepatutnya ​​​​​​bermula 6 Januari 2020, telah dikosongkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan SRC International Sdn Bhd.

Kes pecah amanah itu membabitkan enam tuduhan berkaitan dana Kerajaan Malaysia berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengosongkan tarikh perbicaraan untuk Januari dan Februari 2020 semasa pengurusan kes hari ini.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 6 hingga 9 Januari dan 20 hingga 23, diikuti oleh 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13, 17 hingga 20 dan 24 hingga 27 untuk pendengaran kes.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan tarikh pada Mac dan April dari 2 hingga 5 Mac dan 9 hingga 12 Mac, dan 6 hingga 9 April, 13 hingga 16, 20 hingga 23 dan 27 hingga 30.

Hakim menetapkan 27 Februari 2020 untuk pengurusan kes seterusnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin meminta tarikh perbicaraan pada Januari hingga Mac 2020 dikosongkan.

“Saya mempunyai arahan untuk memohon tarikh pendengaran pada Januari, Februari dan Mac 2020 dikosongkan dengan keutamaan kepada kes SRC. Pendengaran kes ini hanya akan diteruskan setelah selesai perbicaraan SRC,” katanya.

Jamil juga berkata, kes yang membabitkan pembayaran kepada International Petroleum International Corp (IPIC) di Mahkamah Tinggi London harus dijalankan terlebih dahulu untuk mengelakkan pertindihan kes itu.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam Mohd Irwan, Datuk K Kumaraendran tidak mengemukakan bantahan.

Pada 25 Oktober lalu, Najib, 66, dan Mohd Irwan Serigar, 62, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah apabila kes itu disebut di Mahkamah Sesyen.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia masing-masing dalam kapasiti terbabit diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu sejumlah RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia, melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta terbabit.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka dituduh secara bersama, atas kapasiti sebagai penjawat awam dan memegang jawatan yang sama, melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan kepada mereka.

Kedua-dua mereka juga dituduh secara bersama, atas jawatan yang sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka dituduh bersama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 4:00 PM