Najib (kiri) dan Irwan Serigar tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin dan Syarafiq Abd Samad
Najib (kiri) dan Irwan Serigar tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin dan Syarafiq Abd Samad
Murni Wan Omar

KES bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah milik wang kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion, akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 7 Disember ini.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram bahawa ada permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan sudah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

“Kes akan disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurliana Ismail pada jam 9 pagi esok dan tarikh sebutan segera akan didapatkan.

“Kami juga sudah menyerahkan hampir 80 peratus dokumen dan afidavit kepada pihak pembelaan dan akan menyerahkan selebihnya secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan perkara itu dan memohon sebutan kes dibuat sebelah petang pada tarikh itu.

Pada 25 Oktober lalu, Najib, 65, dan Irwan Serigar, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas enam pertuduhan pecah amanah milik wang kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, Najib dan Irwan Serigar didakwa bersama atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu berjumlah RM1.2 bilion dan RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, melakukan pecah amanah ke atas harta berkenaan.

Bagi tuduhan ketiga pula, mereka didakwa diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta berjumlah RM220 juta iaitu peruntukan di bawah ‘Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)’, milik Kerajaan Malaysia.

Tuduhan keempat, kedua-dua mereka didakwa diamanahkan dengan penguasaan harta berjumlah RM1.3 bilion iaitu peruntukan di bawah ‘Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai’, milik kerajaan.

Tuduhan kelima dan keenam pula membabitkan penguasaan mereka didakwa ke atas harta berjumlah CNY1,950,000,000.00 (bernilai RM1.26 bilion dan RM2 bilion milik kerajaan).

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas semua harta berkenaan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Bagi semua tuduhan itu, Najib dan Irwan Serigar menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Bagi setiap tuduhan, masing-masing boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 5:07 PM